Serpihan-Serpihan Cinta

...
SERPIHAN CINTA

Ahad, 15 Ogos 2010

Hai, I love you part 2




" Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi, sila cuba sekali lagi. "

Aku mematikan telefonku. Jam 1.45 pagi. Hanya orang gila jer telefon orang lain tengah-tengah malam macam ni. Aku cuba memujuk hati aku setelah cubaan menelefon dia gagal. Sekiranya dapat dihubungi pun, kemungkinan dia tidak akan angkat. Atau di situasi paling teruk- dia sudah pun menukar nombor telefonnya agar aku tidak dapat mencarinya kembali.

Sambil itu aku menghempaskan badanku ke katil. Menarik nafas dalam-dalam cuba memejamkan mata dan bayangan dia bermain-main di fikiran ku walaupun telah banyak kali aku cuba melupakannya.

Sebulan. Sudah sebulan. Tidak mungkin dia masih ingatkan aku. Kami berdua yang meminta perpisahan ini bersama. Dan secara baik, kami juga sudah meneruskan hidup masing-masing selama sebulan ini.

Cuma,
Aku ingin sekali bisikkan pada dirinya.
Saat ini aku terfikirkan dirinya, setiap detik, dan setiap nafas ini.

Kelakarnya.
Melayan blues seorang diri. Namun, inilah hakikatnya. Rindu.
Aku terlalu rindu padanya. Dan ketika ini, di pagi hening begini.. aku cuma berharap dapat mendengar suaranya.

Sebulan.
30 hari.

Ini baru hari ke 30 dan aku sudah tidak jadi keruan begini. Ingin sahaja aku pergi ke rumahnya, berjumpa dengannya. Bagaimanakah aku hendak menghadapi hari-hari akan datang tanpa dia. Bagaimana?? Jawablah!!

Sedaya dan sekuat ego mana pun seorang lelaki, saat ini.. perasaan ini, degupan ini dan kesunyian ini, membuatkan aku begitu rindu. Ironinya, perasaan rindu itu hanya dapat dipelajari saat aku kehilangannya. Betapa kejamnya guru ini.

Aku menekup mukaku dengan bantal. Aku perlukan tidur.Rasanya sudah terlalu lama aku tidak dapat melenakan diri.  Mungkin sejak perpisahan itu?? Atau mungkin sejak 30 hari lepas? Hakikatnya ia adalah penyataan sama.  Merujuk kepada hari aku dan dia sudah bukan lagi bersama.

Bagiku,  masa berhenti sejak itu. 

Bunyi loceng angin yang tergantung di balkoni membuai diriku tidur.

Cing…. Cing…
                          Cing… Cing….
                                                   Cing… Cing…

                                                                              Zakuan

previous                                                     next



' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'