cerpen ini didedikasi untuk kontest di bawah; click untuk lebih tahu " pertandingan menulis cerita berilhamkan lagu" |
A…A..…Pak Itam kaki hisap, kaki tipu!
A..A…Pak Itam, tua tempang, hidup malang !
Kesian dia, pedulikan dia…
Nyanyian mereka berulang-ulang seperti perakam suara yang rosak dan tidak dapat aku hentikan .Terus menerus melodi nyanyian itu diulangi dan mereka kini berlari mengelilingi ku dengan gelak ketawa kecil yang comel.
Kaki tua ini terus melangkah perlahan-lahan berbantukan tongkat usang yang aku buat sendiri dari kayu rotan di hutan. Terasa perjalanan ini terlalu panjang dan apabila ditemani dengan nyanyian mereka ini, aku tahu ia tidak mungkin berpenghujung.
Dahulu, aku bukan begini. Aku angkuh dan dunia ini bagiku satu permainan anak-anak bagiku. Aku tidak pernah takut pada sesiapa! Tidak penting dan tidak bermakna. Itulah bagiku dunia ku, masa depan ku- ia tidak punya nilai.
" Gua nampak bintang!" katanya sambil ketawa berdekah-dekah. Di tangannya terdapat jarum suntik yang dicuri dari farmasi tempoh hari.
Abie menghulurkan jarum suntik itu pada seorang remaja lelaki yang duduk bersandar dengan kakinya terhulur lemah, cuma bersarungkan seluar' jeans' yang koyak. Remaja lelaki yang kurus dan selekeh itu mengambilnya gembira.
" Gua nak tengok juga bintang. Bintang syurga. " Remaja itu ketawa seakan gila. Dengan angkuh, dia berdiri kemudian terkinja-kinja cuba mencapai langit yang gelap di angkasa. Abie yang memerhati , ketawa melihat kelakuannya dan apabila dia terjatuh kerana tidak dapat menyeimbangkan diri, ketawa mereka semakin kuat. Berdekah-dekah dan bersahut-sahutan seperti dubuk di padang afrika. Ini yang terlihat di mata mereka, dunia halusinasi yang tercipta dari serbuk bewarna putih yang sering dijadikan teman dikala kebosanan.
A…A..…Pak Itam kaki hisap, kaki tipu!
A..A…Pak Itam, tua tempang, hidup malang !
Kesian dia, pedulikan dia…
Aku tersedar dari kenangan yang telah terbang terlalu jauh itu. Telingaku kini kembali menangkap melodi nyanyian itu di alam nyata ini. Ianya bergermesik mendayu-dayu mengikuti setiap langkahku dan apabila tiba-tiba ia berhenti, aku lihat salah seorang 'penyanyi kecil' itu terjatuh.
Aku hulurkan tangan ingin membantunya berdiri. Dia tidak menyambut tanganku, sebaliknya dengan kudrat yang ada, dia berlari mengikut teman-teman ciliknya meninggalkan aku. Sempat dia menoleh dan menjelirkan lidahnya mengejek diriku.
Mereka berteriak.
" Eee….. Pak itam busuk!"
Kemudian dengan ketawa yang kuat, mereka berlari menyelit-nyelit di celah-celah mereka yang dewasa.
" Ish.. budak-budak ni. " rungut Nazri, si penjual sayur yang gerainya sering ku kunjungi. Nazri mengalihkan perhatiannya padaku.
" Diorang tidak hormat langsung orang tua!" Nazri masih merungut. Matanya yang jernih itu menunjukkan rasa kemarahan.
Hati siapa yang tidak panas melihat kanak-kanak itu mempermainkan seorang tua yang tempang. Ejekan mereka itu dan nyanyian mereka itu kini mempengaruhi kanak-kanak di kampung sebelah malahan kadang-kadang Nazri mendengar mereka menyanyikannya di sekolah.
Nazri, mereka cuma anak kecil yang masih naïf. Mereka masih tidak mengerti bahawa hati yang tua ini masih boleh terguris.
" Nah pakcik. Ambillah daging ayam ini. Saya ada lebih."
Aku lihat Nazri menghulurkan sebungkus plastik berisi daging ayam berserta sayur kangkung yang aku pesan.
" Ish.. tidak payahlah."
" Mana boleh pakcik. Hari-hari makan sayur jer, tak cukup nutrein nanti." Dia terus membebel membuatkan aku terpaksa mengambil pemberiannya,walaupun hati aku begitu gusar.
Isterinya aku lihat menjeling ku tajam. Aku tahu wanita itu akan memarahi Nazri, si pemuda yang baik hati ini nanti.
" Jumpa di surau nanti subuh ya, pakcik"
"Insya-allah."
Aku mengucapkan terima kasih dan dengan langkah yang payah, aku beredar dari gerainya.
" ABANG!! YANG PERGI BAGI KAT PENAGIH DADAH TU BUAT APA!"
Bergema suara isterinya. Lantang dan kuat membuatkan hatiku terguris. Ya, mereka tidak mengerti aku punya hati dan perasan yang terlalu mudah terluka.
Namun, aku gagahi juga, agar air mata tidak jatuh. Hati ini menyanyikan lagu hiburan kanak-kanak di kampung ini.
A…A..…Pak Itam kaki hisap, kaki tipu!
A..A…Pak Itam, tua tempang, hidup malang !
Kesian dia, pedulikan dia…
Semakin jauh ku meninggalkan kawasan kemeriahan pasar itu, semakin sayu hati ini. Dada ini turun naik megah cuba mencuri nafas yang pendek ini dan aku lihat seekor anjing yang kurus mendekati diri yang hina ini. Ia kurus, bergerutu dan tulang rusuknya jelas kelihatan tersembul di balik kulit dagingnya yang tidak berisi. Ia seperti aku.
Daging ayam tadi aku hulurkan padanya. Ia tidak mampu bersuara atau menyalak namun pandangan matanya yang jernih dan sayu itu menceritakan penderitaannya. Lalu ia mengonggong membawa pergi daging ayam itu dan aku lihat ia masuk ke celah longkang yang bertimbun sampah. Di situ, aku lihat tiga ekor anak anjing yang masih kecil menantinya.
" Dah! Jangan difikirkan hal orang kampung semua. Lama-lama nanti senyaplah mulut mereka itu. " Aku lihat dia mencebik. Mulutnya muncung seinci dan kerut di dahinya jelas menunjukkan ketidakpuasan hatinya.
Nisa mengetuk dahiku.
" Cakap macam tu lagi, Nisa tak nak kawan dengan Tam lagi!" marahnya dalam ugutan.
Aku membisu. Aku cuma tidak mahu dia dipandang sehina aku, lagipun dengan dirinya yang berstatus anak tuk penghulu, tidak sesuai dia berkawan dengan aku. Itu tanggapan ku namun setiap kali aku membicarakan persoalan ini, dia pasti akan memarahi ku. Salahkah aku memikirkan masa depannya?
" Tam,janji dengan Nisa, jangan putus asa walau bagaimanapun!. Nisa sentiasa percaya dan sokong Tam."
Krek… krek…
Bunyi kerusi malas ini mengejutkan aku dari mimpi. Ianya beritma perlahan mengikut alunan tubuh ku yang tidak terdaya ini. Aku lihat di luar, hari sudah gelap dan di meja makan, nasi ku berhidangkan sayur kangkung goreng sudah sejuk tidak terusik. Aku bangun dan bergerak mengambil air sembahyang.
" Jangan hampa dengan dunia ini. Cari makna kau dalam hidup ini, jangan sia-siakan masa depan ini. " pesan Abie sebelum dia menghembuskan nafasnya terakhir.
" Tam, aku minta maaf."
Aku menangis berhari-hari selepas itu. Abie teman yang ku anggap seperti abang kandungku sendiri, disahkan menghidap AIDS dan akhirnya meninggalkan muka bumi ini. Dia meninggalkan aku walaupun pernah berjanji tidak akan mengabaikan aku. Itu janji kami. Janji sedarah yang diucapkan pada seorang anak yatim piatu seperti aku.
Aku mengesat air mata yang tiba-tiba mengalir membasahi pipi ini.
" Air mata itu panas kerana ia mengalir disebabkan hati." kata Nisa sambil mengusap air mata ku yang jatuh ini.
Dia memberikan sebuah senyuman yang paling manis untuk mengembirakan hatiku yang duka. Dan entah kenapa hati ku turut berlagu gembira. Itulah kali pertama aku bertemu Nisa yang sentiasa tidak lekang dengan senyuman . Detik itu, aku tahu walau bagaimana tajam dan pedihnya cercaan orang kampung, aku mampu melangkah ke depan. Mengejar masa depan ku seperti pesan Abie.
Bayangan Nisa hilang di balik memori aku yang semakin kusam. Aku lipat sejadah tua ini dan bergerak ke anjung rumah usang ini. Di situ, kerusi goyang tua ku menunggu tuannya ini.
" Nisa tunggu Tam malam ini kat rumah tua itu tau!" kata Nisa mengingatkan aku. Dia berlari meninggalkan aku sebelum sempat aku memberikan jawapan.
Malam itu, aku serba-salah ingin berjumpa dengannya, namun aku tahu dia pasti tidak akan memaafkan diriku sekiranya janji ini dimungkiri. Malam itu, aku berjumpa dengannya di rumah usang ini. Malam itu…
A…A..…Pak Itam kaki hisap, kaki tipu!
A..A…Pak Itam, tua tempang, hidup malang !
Kesian dia, pedulikan dia…
Nyanyian kanak-kanak itu bermain-main di fikiran ku. Aku membuka mata ini dan memandang langit malam yang dihiasi bintang.
" Tengok!! Cantikkan!!" kata Nisa gembira. Dia menarik aku ke anjung rumah usang yang tidak berpenghuni ini. Tangannya menunjukkan gugusan bintang yang jelas di langit dan mulutnya tidak henti menyebut nama-nama bintang dan buruj yang terlalu asing bagi ku. Namun, walaupun aku tidak mengerti, tetapi melihat senyuman dan kegembiraan yang terpacar di wajahnya, aku gembira.
Lebih gembira dari segalanya dan aku rasa aku kini sudah menjumpai bintang syurga ku. Dia bintang syurga ku, bercahaya dan sentiasa memberikan aku kegembiraan di sebalik kesedihan dan kehampaan duniawi.
" Tam.."katanya lembut. Dia bergerak menjauhi ku sedikit .Setelah mengumpul segala keberaniannya, dia mendongak dan memandang ku.
" Nisa cintakan Tam."
Dia tersenyum gembira. Aku lihat pipinya merah padam menahan perasaan malu seorang gadis yang dilamun cinta.
Aku membalas senyumannya dan sebelum sempat aku berkata-kata, bumbung anjung rumah usang ini jatuh menghempapnya.
Di depan mataku, aku lihat Nisa hilang di dalam runtuhan itu.
" Nisa!! Nisa!! "
Jeritan itu bergema di ruang rumah usang ini.
Dan aku masih rasakan ia bergema hingga ke hari ini..
" PEMBUNUH!! "
" KAU BUAT APA DENGAN ANAK AKU MALAM TU! PEMBUNUH!!"
" Saya…."
" PEMBUNUH!! KAU BERNIAT JAHAT MALAM ITU!! KAU NAK ROGOL ANAK AKU KAT RUMAH ITU, SIAL!!!"
" Tidak…Bukan.."
" PENIPU! PENAGIH DADAH! PEMBUNUH!!"
" Bukan.. Aku bukan begitu."
Prak!!!
Kaki kiri ku terasa sakit yang teramat sangat seperti dipatahkan. Kemudian, terasa badan ini dipijak-pijak dan keperitan dan kesengsaraan ini membuatkan pandangan ku gelap.
Aku mengusap kaki kiriku yang tempang ini, kesan dari kisah malam durjana itu. Bukan! malam itu bukan malam durjana. Walaupun ia membuatkan aku dihina seakan anjing kurap sehingga kini. Namun malam itu adalah di mana aku lihat senyuman Nisa yang terindah sekali. Ia milikku, milik memori tua ini.
Quran kecil di tanganku berkat pemberian seorang imam muda di surau tempoh hari aku usap dan peluk di dada yang kian lemah nafasnya. Aku tahu imam itu selalu risau melihat aku yang tidak diterima masyarakat di sini. Kehadiran ku di surau ini pula sentiasa mengundang ketidakselesaan segelintir jemaah yang lain. Jelingan mereka, bisikan mereka sentiasa membuatkan semangat si tua ini berkocak. Aku tahu.
Namun aku teruskan juga kerana aku ingin menempuhi hari-hari yang mendatang, seperti janji ku pada Abie dan Nisa.
A…A..…Pak Itam kaki hisap, kaki tipu!
A..A…Pak Itam, tua tempang, hidup malang !
Kesian dia, pedulikan dia…
Aku menyanyikan bait-bait lagu itu perlahan-lahan. Sambil kerusi ini bergerak lembut aku pejamkan mataku. Terasa angin sejuk menyentuh kulit yang tidak berdaging ini, membuatkan aku rasa dingin, lebih dingin dari biasanya.
Tam, hari sudah subuh. Mari ke masjid.
Aku membuka mataku perlahan-lahan. Kelihatan sekumpulan kunang-kunang yang bercahaya bermain-main di laman rumah usang ini. Seperti bintang yang berkelipan di langit subuh.
Kini sudah sampai janjiku pada tuhan.
Biarkan syurga bintang ini menceritakan kisah hidupku.
Aku memejamkan mata kembali, mendengar rentak nafas ini yang semakin perlahan.
" Bang!! Tengok bintang tu cantiknya!!" kata si kecil Aiman dengan gembira. Nazri melihat bintang yang ditunjuki Aiman itu. Ia begitu terang benderang, tidak pernah Nazri lihat sepanjang hidupnya di kampung ini. Kemudian, dia melangkah masuk ke surau untuk mendirikan sembahyang subuh seperti biasa.
Aiman berlari mendekati kawan-kawannya yang lain. Kemudian mereka menyanyi..
A…A..…Pak Itam kaki hisap, kaki tipu!
A..A…Pak Itam, tua tempang, hidup malang !
Kesian dia, pedulikan dia…
Xxx-Xxx--XXx---
Masih ku merasa angkuh
Terbang kenanganku jauh
Langit kan menangkapku
Walau kan terjatuh
Dan bila semua tercipta
Hanya untukku merasakan
Semua yang tercipta
Hampa hidup terasa
Lelah tatapku mencari
Arti untukku membagi
Menemani langkahku
Namun tak berarti
Dan bila semua tercipta
Tanpa harus ku merasakan
Cinta yang tersisa
Hampa hidup terasa
Reff:
Bagai bintang di surga
Dan seluruh warna
Dan kasih yang setia
Dan cahaya nyata
Oh bintang di surga
Berikan cerita
Dan kasih yang setia
Dan cahaya nyata