Serpihan-Serpihan Cinta

...
SERPIHAN CINTA

Selasa, 5 Februari 2013

Cermin Kecil- Tidak kisah

Kereta wira warna ungu berhenti di depan hentian teksi yang tiada sesiapa. Semenjak masyarakat merasai keseronokan berhimpit di dalam light transit rail atau nama singkatan LRT, jarang-jarang manusia ada di sini. Ini mengurangkan peluang lelaki-lelaki bujang untuk mencari jodoh melalui proses pengoratan anak dara di hentian. Aku keluar dari kereta yang dipandu Lin. Sebaik sahaja pintu ditutup, tanpa lengah Lin memecut laju mengejar lampu isyarat yang hampir merah. Tinggal aku di hentian teksi. Aku tidak kisahpun.


Di depan, ada kedai runcit mamak. Budak-budak kawasan ini suka membeli di sini kerana pakcik india muslim itu lebih peramah berbanding makcik kedai melayu yang berada di hujung deretan kedai. Makcik itu selalu merenung mereka yang lalu-lalang semacam tidak puas hati. Gosip mereka. Namun, aku tidak kisahpun.

" Ya, nak apa?" tegur pakcik india muslim yang bermisai itu. Dia sangat hensem, ketika mudanya. 
Aku senyum dan menyelinap masuk ke bahagian belakang yang padat dengan barangan runcit. Ada yang digantung, ada yang disusun bertingkat-tingkat. Di sini adalah syurga makanan ringan.  Aku suka melihat semua keropok-keropok ini sebab aku sentiasa lapar.  Tapi, aku tidak kisahpun. 

Aku ambil keropok kentang berjenama tempatan yang sekali pandang seperti Mister Potato tetapi hanya sebesar tapak tanganku. Harga pun hanya 70sen. Aku bawa ke kaunter. Sempat aku capai air vitagen perisa oren di dalam peti ais berhadapannya.  

" Ishh.. takde duit kecik pula." Wang kertas merah yang satu-satunya berada di dompetku, buatkan aku segan untuk melakukan pembayaran. Teringatkan alat kawalan jauh pemain dvd aku yang kehabisan bateri, aku pinta pakcik india muslim untuk memberikan aku bateri AAA yang tergantung di tepinya. 

Seorang budak kecil lelaki bergerak ke tepi ku. Dia meletakkan aiskrim yang diambil ke kaunter, menganggu urusan kami berdua. Pakcik india muslim bermisai itu menyelesaikan proses pembayaran budak itu, dahulu dari aku. Sekali lagi aku tidak berapa kisah. 

Sampai di rumah, sambil memasang pemain dvd dengan cerita kegemaranku-Vampire Diaries musim ketiga, aku buka keropok kentang. Dalamnya cuma ada 5 keping keropok kentang, selebihnya hanya udara. . Aku capai alat kawalan jauh pemain dvd yang sudah berganti bateri AAA yang baru. Aku tekan SUBTITLE. Tiada apa-apa. Aku tekan MENU, masih tiada apa-apa. Jadi aku hentaknya ke lantai ulang-ulang kali, kemudian menekan butang PLAY.  Aku baru sedar yang alat kawalan jauh itu yang selama ini rosak. Kali ini, aku kisah.














' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'