Kenny menguap senang hati. Dia kini berdiri di beranda sambil memandang halaman rumah lama Neal ini dan apabila angin petang menyapu wajahnya, serta-merta dia rasa amat tenang. Suasana kampung ini, betul-betul menyegarkan.Betul-betul ' relax'.
Tidak sangka rupanya,Neal pernah tinggal di sini.Uishh, dak kampung rupanya member dia ini. Peliknya, Neal tidak pernah bercerita tentang kampungnya ini, sebenarnya Neal langsung tidak pernah bercerita tentang masa silamnya, zaman kanak-kanaknya, keluarganya, hampir segalanya. Jadi, mungkin ini peluangnya untuk mengenali Neal?
" Assalamualaikum." tegur Pak Mail yang selalu sahaja muncul tiba-tiba di rumah Neal ini. Kenny selalu berfikir macam mana lah Pak Mail ini boleh senyap-senyap sahaja muncul, tiada bunyi atau suara, mungkin Pak Mail ini selalu masuk hutan memburu mungkin?
" Waalaikumsalam.Pakcik dari mana ?"
"Baru balik dari kebun lah, mana lagi. Kamu dah makan? Kalau belum, marilah ke rumah pakcik, makcik kamu dah sediakan makan petang."ajak Pak Mail ikhlas.
Kenny rasa macam nak melompat dan memeluk orang tua ini. Sememangnya dari tadi perutnya sudah berkeroncong irama hiphop menahan lapar.Hanya nasi lemak pagi tadi yang sempat dibedalnya, tengah hari tadi dia membuta sampai ke petang. Neal lah punya pasal, kata nak keluar beli makanan tetapi sampai petang kelibatnya pulang langsung tidak ternampak.
" Ajaklah Neal sekali."
"Neal takdele pakcik, dia keluar dari tengah hari tadi."
Pak Mail memandang garaj yang terbuka, kosong.
" Dia keluar jalan-jalan kot, yerlahkan, lama dah dia tak balik sini, kamu siaplah."
" baik." Sahut Kenny seakan budak baik.