Aku hulurkan wang kertas sepuluh ringgit pada apek cina penjual aiskrim ini. Apek itu senyum dan menyelongkar poketnya mencari duit baki.
Sementara itu, Danish Adni menjilat aiskrim paddle pop pelangi yang aku belikan. Dia langsung tidak mengucapkan terima kasih semasa aku hulurkan aiskrim itu padanya.
Jauh berbeza betul sikapnya ini.
Aku perhatikan langit yang dipancari matahari terik ini. Diikutkan firasat aku, sekarang ini mungkin pukul 12-1 tengah hari. Peliknya, Danish Adni ini tidak bersekolah ke hari ini? Setahu aku, hari ini adalah hari Rabu, hari biasa dan tiada tanda di kalendar menandakan hari ini public holiday.
" Danish tak sekolah ke hari ini?" tanya ku lembut. Lebih tepat dengan nada berhati-hati. Aku tidak mahu budak kecil ini menyuarakan pandangannya dan kata-katanya yang pedas lancang dan menyakitkan hati aku.
" Saya home school dari kecil."
Aku diam. Entah kenapa aku dapat rasakan nada suara yang berbaur sayu dari si kecil ini.
Danish Adni menunduk. Dia tidak lagi kelihatan yakin dan berani seperti awal tadi.
Mungkin, si kecil ini tidak mempunyai kawan seusia dengannya. Dia cuma ingin bermain. Walaupun dia cuba berlagak lebih matang dari usianya, yelahkan dengan kata-katanya, keberaniannya, kelancangannya yang mencucuk-cucuk hati aku ini, aku tahu dia masih lagi seorang anak kecil.
" Jom pergi taman permainan kat depan tu."
Dia memandang aku seakan terkejut dengan ajakan aku itu.
" Dekat je. Akak rasa nak rehat-rehat kat taman permainan tulah.. Ada gelongsor, buaian…"
" Ceh, permainan budak kecik" getusnya.
Aku terdiam. Adakah tanggapan aku salah?
" Well, saya pun takde apa nak buat. Jadi, saya temankan akak." Katanya seraya berjalan laju ke taman permainan yang cuma beberapa meter dari tempat apek cina ini menjual aiskrim.
Aku senyum dengan tingkah lakunya yang comel itu. Lain yang cakap di mulut, lain pula di hati. Perangainya yang berubah-ubah mengingatkan aku pada Danny.
Lelaki yang terlalu sukar aku tafsirkan pemikirannya dan hatinya. Lelaki yang membuatkan aku teringat padanya saat dia tiada hadir lagi dalam kisah hidup aku. Nampaknya Danny ini betul-betul meninggalkan impak besar dalam hidup aku. Hari ini sahaja dah banyak kali terfikirkan dirinya. Ishh... cik Amyra, sila fokus! Move on please!
Aku mendekati Danish Adni yang berada di gelongsor.