Adam membuka matanya.
Suara itu.
Seperti biasa suara itu mengejutkan lenanya.
Dia turun dari katilnya, menyarung baju sejuknya dan membuka tingkap biliknya. Di situ, dia berdiri sambil memeluk tubuhnya yang terasa dingin saat angin malam menghembus masuk ke ruang kamar ini. Pandangannya jauh melamun memerhatikan bulan yang menerangi langit saat ini.
"Tidak lena lagikah tuan muda?"
Adam mengangguk.
" Mahu saya dodoikan tidur tuan muda?"
Adam mengusap kepala si 'bising' dan burung kakak tua itu berkukur manja. Kemudian ia terbang di sekeliling bilik Adam sambil menyanyi. Adam tersenyum.
Si 'bising' yang dibelanya dari kecil dan mempunyai keupayaan meniru suara itu, sentiasa menemani dan menghiburkannya. Dan sejak akhir-akhir ini, si 'bising'lah peneman dan penenangnya apabila dia tidak dapat tidur.
Ya, sejak dia dihantui dengan suara pelik itu. Setiap malam, dia akan terjaga saat mendengar suara itu. Ianya sayup-sayup kejauhan dan bila dia terjaga, suara itu akan berhenti. Ibarat mimpi atau mungkin tidak?
Adam mengeluh. Apakah makna misteri suara yang sering menganggunya? Dia memejam matanya cuba kalau-kalau dia dapat mendengar suara itu lagi.
" Adam, tidak tidur lagi?"
Terkejut, saat ditegur begitu. Kamarnya kini terang benderang pabila lampu biliknya dihidupkan tiba-tiba oleh 'penceroboh' kamarnya ini.
" Tidak dapat tidur ibu."
Wanita berusia lingkungan 40an itu mendekati putera kesayangannya ini.
"Memikirkan hal esok kah? Ibu pun rasa berdebar-debar ingin bertemu dengan tunangan kamu itu. Mesti jelita paras rupanya. "
Adam membisu.
" Tidurlah. Esok adalah hari penting bagi kamu." Kata ibunya sambil mengusap rambut anak bujangnya ini sebelum beredar.
Si 'bising' sudah pun kembali ke sangkarnya, tidur.
" Hari penting bagi ibu dan ayah, bukan aku." bisik hatinya.
Malam ini terasa lebih sejuk dari selalu. Adam menutup tingkap biliknya.