Serpihan-Serpihan Cinta

...
SERPIHAN CINTA
Memaparkan catatan dengan label cerpen fantasi realiti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cerpen fantasi realiti. Papar semua catatan

Khamis, 30 Jun 2011

Suara Mytamor 17


Pagi Adam kali ini dikejutkan pula dengan suara kicauan burung –burung pagi. Dengan rasa ngantuk yang masih tinggal, dia bangkit dari pembaringannya, mengosok mukanya dan bergerak ke tasik yang berdekatan.Perlahan-lahan dia menceduk air dan membasahkan mukanya.

Rasa segar kini mengaktifkan kesemua deria tubuhnya. Dia menoleh pada pemerhatinya yang dari tika tadi tekun memerhatikan gelagatnya- seperti biasa.

“ Selamat pagi..” ceria Airis menyapanya. Adam senyum kelat.

Mengabaikan pemerhatinya ini, dia mempersiapkan dirinya. Pisau lipat yang dijumpainya di bangunan usang tempoh hari  diselitnya di pinggang dan dia melangkah meninggalkan tempat. Menuju destinasinya.

Sudah berhari-hari dia di sini, dan sudah jauh dia berjalan.. hutan ini seakan tiada penghujungnya.  Di mana pintu masuk, di mana pintu keluarnya? Dia seakan berada di sebuah kotak yang tiada ruang untuk dia meninggalkan tempat ini.- Misterinya Hutan heratus ini atau mungkin bukan? Adam mula was-was samada ini hutan heratus, acap kali akalnya mengutarakan yang ini memang hutan heratus tetapi semua keajaiban di sini? Segalanya aneh, berbeza... ajaib.

Tawaran Airis  2 hari lepas ditolaknya mentah-mentah dan walaupun ditolak begitu, Airis masih mengekorinya, seperti kucing yang mahukan tuannya.

Namun, Adam tekad yang dia tidak ingin membuang masa di sini! Penemuannya pada buku catatan di bangunan lama itu , sudah cukup untuk dia mencari jalan keluar sendiri, walaupun tanpa bantuan Airis. 

Selepas lebih berjam-jam dia meredah tanpa hala tuju, bunyi seseorang terjatuh membuatkan langkahnya mati. Di belakang, Airis sedang tersembam mencium lantai hutan. Dia mendekati gadis penghuni tempat ini. Darah merah kelihatan mengalir dari luka di lututnya.

“ Awak tak perlulah ikut saya. “ kata Adam sambil mengoyakkan sedikit bajunya. Dibaluti luka kecil itu yang kini menambah cela di sepasang kaki putih melepak milik Airis itu.

Gadis ini, walaupun berjuta kali Adam tegaskan agar jangan mengekorinya, Airis tidak mempedulikannya. Yang merisaukan, gadis ini terlampau lemah , seringkail Airis yang cuai mencederakan dirinya. Bagaimana gadis secuai ini boleh hidup di dalam hutan ini seorang diri Terutama hutan yang menempatkan makhluk aneh yang menyerangnya sebelum ini, menjadi misteri bagi Adam.

Bercakap tentang makluk itu, Adam sedari sejak hari pertama dia menjejakkan kaki disini, satu bayang makhluk itu tidak pernah dijumpainya.Pelik.

“ Mengapa mesti awak pergi dari sini?” tanya Airis.

Adam diam sejenak. Jika diikutkan dia lebih bebas di sini berbanding berada di rumah. Cuma..

“ Ada seseorang menanti saya. Saya tidak mahu membimbangkan dia.” ujar Adam. Wajah Dali terbayang di mindanya.

“Di sini pun ada yang menunggu awak..”
“ Huh??’
“ Saya!.” tegas Airis.

Adam ketawa merasakan Airis bergurau namun tatkala melihat riak wajahnya mencuka ,Adam menghentikan tawanya.
“ Serius ke? Tapi saya tak kenal awak pun.”

Wajah Airis  masih mencuka.

“  Airis, bukan saya tak suka awak. Tapi saya tak kenal awak. Lagipun saya tak tahu langsung tentang diri awak. Apa yang awak buat kat sini? Mana keluarga awak.. “

“ Saya manusia! Kalau itu yang awak bimbangkan.!”


Adam diam. Ok.. Airis sudah mula marah. Marah sangat dia.  Mestilah manusia? Tidak pernah terlintas di hati Adam yang Airis ni kemungkinan makhluk lain .Baginya Airis di depan matanya memang manusia, kenapa pula Airis marah sangat bila dikatakan begitu?? Melainkan...?? dia betul-betul....

Adam bangun dan meneruskan perjalanannya yang tergendala. Sambil itu otaknya berputar-putar mengingati  bagaimana dia boleh terperangkap di sini? Gelembung misteri itu. Suara itu... tangan itu...Mungkinkah Airis ??

Adam geleng-geleng kepala. Tak mungkin! Takkan lah Airis ni hantu?? Atau mungkin dia dah mati??

Jadi ni alam lain ke??Sebab itukah dia tidak dapat keluar dari sini??

Adam mencuri pandang pada Airis yang masih mengekorinya.  Ya, gadis ini sememangnya punya kejelitaan yang luar biasa. Kulitnya putih gebu, bibirnya merah mekar bak delima yang ranum.. wajahnya bujur sireh dan yang paling menakjubkan.. matanya yang memukau ... itu.. ia tidak hitam seperti biasa sebaliknya bewarna biru kehijauan persis jernih laut.

Bidadari kah dia? Jika Airis bidadari? Jadi betullah dia dah mati??

“ Awak.. “ tegur Airis.

“ Hujan hampir turun, kita perlu cari tempat berteduh...”

previous 


' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'

Isnin, 27 Jun 2011

Suara Mytamor 16



Serpihan batu dari runtuhan bangunan usang ini, Adam alihkan dengan hati-hati.

Adam buang pula dedaun liar yang tumbuh meliar dengan cermat, takut sekiranya dia merosakkan barang-barang yang tersedia ada dalam bangunan ini.

Bangunan yang dijumpainya berhampiran tempat dia terlantar tadi, memang kelihatan usang dan seakan sudah ditinggalkan lama. Bangunan ini terlalu usang hinggakan ia sudah tidak kelihatan seperti bangunan lagi. Lantainya sudah pecah dan digantikan dengan rumput kering, batu kecil, pasir halus dan dindingnya sudah dipenuhi kulapuk.

Sambil dirinya menyelongkar bahagian dalam bangunan usang ini, dia menyedari Airis - gadis misteri yang mengekorinya sejak pagi tadi masih di situ-memerhatikannya dengan bibir yang menguntum senyuman, seolah mengetawakan- tahu yang tindakan Adam itu cuma sia-sia, membuang masa.
 
“ Awak tak nak tolong ke?’ tanya Adam menyedari kenakalan gadis bernama Airis ini.

“ Tolong? Saya sudah bantu kamu pun. Kecederaan itu..”

Adam memegang luka di kepalanya yang kini sudah hilang sembuh sepenuhnya. Baru semalaman di sini, tubuhnya yang calar balar itu kembali sihat. Seolah-olah kejadian dikejar raksasa semalam tidak pernah terjadi. Tubuhnya sihat tanpa satupun luka parut. Malahan tenaganya juga turut pulih.Disebabkan itulah dia mampu untuk berjalan ke sini, menerokai hutan misteri ini.

Di sebalik semua itu, Adam tidak rasa pelik atau ganjil.  Mungkin di sini terdapat herba dari tumbuh tumbuhan liar yang tidak didapati di kawasan kediamannya. Kerna itu, tidak mustahil luka dan tenaganya kembali pulih disebabkan rawatan tradisional Airis.

Dia berhenti dan duduk di sebuah batu besar yang berada di sini.

Akalnya menyakinkan dirinya yang dia masih lagi berada di hutan Heratus, hutan besar dan misteri  yang terlalu luas hingga memenuhi 2/3 kawasan kampungnya. Kiranya,  tidak mustahil dia cuma tersesat jauh ke dasar perut hutan ini.  Cuma kenapa matanya mengaburinya denga pemandangan yang pelik dan aneh di sini.

Baru pagi tadi dia dikejutkan dengan melodi dari geseran bunga-bungaan yang dihembus bayu pagi, belum lagi bila dia melihat di sungai semasa ingin membersihkan dirinya, di balik hutan yang masih gelap, dia lihat  kelibat seekor kuda putih bertanduk satu.Pelik-getus hatinya.  

Namun, saat ini yang paling penting adalah dia mesti cari jalan keluar. Dia tidak boleh buang masa walaupun seminit, kerana hatinya gusar memikirkan kekecohan di rumahnya waktu ini- terutama Dali.


" Awak tinggal sorang ke kat sini? Mana keluarga awak?" tanya Adam cuba mewujudkan perbualan dengan Airis yang kelihatan sedang duduk di bawah cahaya mentari yang masuk dari bumbung zink yang berlubang. Kulitnya yang putih itu kelihatan kemerah-merahan dibakar cahaya mentari.

Airis tidak menjawab, sebaliknya dia duduk menguis-nguis pasir dengan ranting kayu yang entah bila diambilnya.

“ Sini macam pernah ada orang tinggal. Tengok peralatan di sini, meja ini.. buku-buku ini.. struktur rumah ini, semua ini .. Mungkin, ada orang lain pernah masuk ke sini. Awak pernah jumpa merekakah ?”

Masih tiada balasan dari Airis. Gadis itu dari pagi tadi hanya mengekorinya tanpa cakap apa-apa, jadi mustahil Adam dapat kerjasama dari dia. 

" Haishh...." Adam mengeluh kuat. dia sekarang sesat di sini, dan gadis di depannya ini tidak banyak membantu.. Sekiranya ada si bising, mungkin burung pintarnya itu boleh terbang kembali ke kampung dan mendapatkan bantuan untuk dirinya.

"Nah." terkejut Adam bila tiba-tiba Airis menghulur buah kelapa muda yang sudah terbelah padanya untuk diminum. Bila masa pula Airis ini sempat pergi ambil kelapa muda ini?

" Awak betul-betul nak balik ke?' tanya Airis pada Adam yang sedang meneguk air kelapa muda itu, menghilangkan haus ditekak. Wajah Adam berkerut bila saat air itu basah di mulutnya, bukannya air kelapa sebaliknya rasanya manis seperti air madu. Satu lagi keanehan di sini.

" Awak tahu cara nak keluar dari sini?" Adam mengharap.

Airis membisu, namun wajahnya menyembunyikan sesuatu yang membuatkan Adam tiba-tiba terasa geram.

Sememangnya, perempuan ni bertujuan memerangkap dia di sini. Mungkinkah gadis yang kelihatan naïf dan baik hati ini sebenarnya berniat jahat?

‘ Awak memang taknak saya keluar dari sini bukan?!” sindir Adam.

“Bukan! Saya.... ” penafian Airis terhenti tatkala melihat pandang mata Adam yang menyembunyikan kemarahan pada dirinya.

Mereka berdua kini saling membisu.


Hati kecil Adam berbisik yang tiada niat jahat dari gadis ini, namun akalnya mendesak dia untuk pergi dari sini dan bila Airis melengah-lengahkannya , dia tidak dapat menahan rasa berangnya.Dia tidak boleh berada di sini lama terutama bila-bila masa sahaja makhluk yang menyerangnya tempoh hari, kemungkinan berada berdekatan.


Adam bangun dari duduk, berniat untuk menyambung kerjanya yang tergendala. Jika gadis ini tidak ingin  membantu, mungkin dia boleh dapat jawapan di sini. Bangunan ini simbol seseorang pernah berada di sini untuk satu jangka masa yang lama,  dan kemungkinan mereka arif tentang kawasan hutan Heratus ini. Adam berharap terjumpa apa-apa catatan tentang ini yang boleh mebantunya mencari jalan keluar- mungkin terdapat peta. Itu sudah bagus.

Tangannya tiba-tiba dipegang, ditahan Airis.

“ Temani saya semalaman dan saya akan bawa kamu ke pintu keluar.”

previous

next


' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'

Jumaat, 1 April 2011

Suara Mytamor 15



“ Hey, jangan menangis.”

Huhuhu...

“ Jangan menangis ok!” kali ini tinggi suaranya. Dali menelan sedunya. Dia mendongak ,menatap budak lelaki ini.

“ Budak lelaki tidak boleh menangis. Siapa nama kau..?”

“Dali..” jawabnya dengan suara yang sebak.

“ Baik! Dali! Mulai sekarang kamu tidak akan  berseorangan lagi! “

Dia tidak mengerti maksud budak lelaki yang kemas lengkap berkardigan biru tua ini.

“ Kau ni lembik sangat ler. Jom!” katanya dengan ego yang kecil. Dia menghulurkan tangannya yang kecil itu pada Dali,  mengajaknya menyambut.

“ Jom! “ arahnya.  Melihat Dali  masih teragak-agak menyambut huluran tangan itu, dia terus sahaja menarik Dali yang duduk mencangkung itu untuk bangun. Dan mereka berdua berjalan meninggalkan lorong gelap itu.

“ Aku Adam! Dan kita adalah keluarga.” 



“ Nah baca nih!” arah Adam. Buku tebal geografi dihulurnya pada Dali. Kemudian diikuti dengan beberapa buku lain hinggakan tubuh Dali yang kecil itu hampir tertimbus dek buku-buku itu.

Adam ketawa.
“ Kau ni kecik sangat lah!  Lepas ni ko kena minum banyak susu.. “ usiknya.Dia menolong Dali mengangkat beberapa buah buku dan mereka berdua beriringan ke meja bacaan. 

“ AA!!!! Tuan muda saja je nak suruh saya habiskan susu Tuan muda.. “ rungut Dali. Yerlahkan sebelum tidur Adam selalunya disuruh minum segelas susu dan disebabkan Adam tidak suka minum susu, senyap-senyap tanpa pengetahuan pengasuhnya-Alicia, Adam akan menyuruh Dali menghabiskan minumannya.

“ Mana ada! Kau pendek sangat. Aku nak bagi kau besar sahaja. Betul...”


Adam meletakkan buku-buku itu di atas meja yang setinggi dadanya. Dan dengan payah dia naik ke bangku yang lebih tinggi darinya. Kakinya terlujur tergantung saat dia berjaya melabuhkan punggungya di bangku ini. Buku diselaknya.

“ Kenapa tuan muda baca buku orang dewasa ni? Kitakan budak-budak lagi? ”

“ Tu ler.. kau tak tahu! Alicia kata kalau aku pandai , baik dan rajin baca buku, ayah akan tinggal di sini.”  jelas Adam.

Dali diam dan hanya memerhatikan sahaja kelakuan Adam.Ya. Selama  3 bulan di sini, tidak pernah sekalipun dia berjumpa bapa Adam. Di rumah agam yang besar ini hanya ada pembantu rumah, pengasuh, dan mereka berdua. Yang Dali tahu,  ibu Adam sudah meninggal dunia setahun lalu dan kini tinggal Adam dan ayahnya sahaja.Peliknya Adam tinggal tanpa ibu bapanya.

“ Jom. Baca sekali..” ajak Adam, dia menghulurkan buku psikologi pada Dali.

“ Aku akan berusaha sehingga ayah bangga dengan aku. " kata Adam tiba-tiba.

 Ayah? Begitu bermaknakah?

“ Baik! Saya juga akan berusaha menjadi serf yang paling sempurna untuk Tuan adam! “  lantang Dali  memberitahu tekadnya.Baginya, sekiranya Adam berusaha untuk menjadi lebih baik, dia juga akan berusaha menjadi serf yang baik- Yang layak di sisi Adam.

“ Kau yang kuat menangis nie nak jadi serf aku? Boleh ke?”

Dali mengetap bibir. Adam ni suka memperkecilkannya. Walaupun dia lebih pendek dari Adam dan muda setahun, dia tahu dia boleh lakukannya. Mukanya merah padam diusik begitu.

“ Hehe.. kan aku dah kata dari dulu, kita adalah keluarga. Jadi kau kene berusaha untuk itu lah.. dan.. ”
 
“ latihan pertama kau adalah berhenti memanggil aku tuan muda. “

Adam bersuara sambil tersenyum pada Dali.

“ Baik ......A...dam.. ”

Dan gelak ketawa mereka memenuhi ruang perpustakaan ini.




Dia hanya memerhatikan sahaja dari jauh, mimik wajah tuan mudanya itu. Hanya itu sahaja yang mampu dia lakukan.. memerhati...

“ Ayah!!..”  

Tuan Arif tidak mengendahkan teriakan anak kecil itu..Dia  merentapnya tangannya  dari pegangan kecil itu dan dengan pandangan yang bengis, dia memandang darah dagingnya yang baru menjangkau usia 10 tahun ini.

“ Kamu balik!” arahnya.

“ Ayah ingin pergi ke mana? Tinggallah bersama Adam di sini.”

Suara rayuannya tidak sedikitpun melembutkan hati batu Tuan Arif, sebaliknya lelaki itu terus beredar bersama pemburu-pemburunya.


Tindakan Tuan Arif langsung tidak memutuskan harapan Adam.Dia mengejar ayahnya itu dan sebaik sahaja dia hampir dengannya, dia menarik jubah baju Tuan Arif, mengharap lagi yang ayahnya akan tinggal di sini. Menemaninya~ 


“ Jangan sentuh aku! Kau tak bermakna untuk aku! Budak sial!” marah tuan Arif. Tubuh kecil itu ditolaknya jatuh.

Setajam petir, kata-kata itu bergema di keliling.

Setengah jam kemudian Adam masih terduduk kaku di situ. Walaupun hujan mulai turun rintik-rintik, tidak sedikitpun Adam beredar dari situ. Dia masih tergamam, hanya memandang jauh.. di mana ayahnya dan kumpulannya menuju ke suatu tempat -Hutan Heratus





“ Dali, apakah itu pengorbanan? ”

Dali yang sedang menghidangkan air untuk Adam memandang tuan muda ini. Di usia yang muda, Adam  terlalu banyak berfikir,  tidak padan dengan usianya yang baru menjangkau 10  tahun.

“ Entah,, mungkin apabila kita sayangkan seseorang kita akan  buat begitu. Masa untuk minum petang.  Hari ini saya sediakan teh .....”

“ Dali, kau rasa adakah orang akan sanggup berkorban untuk aku?”

Dali diam. Dilihatnya wajah Adam tidak bermaya, mungkin teringatkan tentang hal itu.

Walaupun sudah seminggu hal itu berlaku, adam tidak pernah berbicara tentang itu. Dia masih lagi tekun belajar, menjaga adab dan kata-katanya, berusaha menjadi tuan muda yang dibanggakan keluarga ini. Sedikit kesedihan langsung tidak dipamerkannya. Disembunyikan dalam di hatinya walaupun ayahnya sendiri tidak mengendahkan dirinya. Baginya, Adam hanya satu pewaris – satu alat.


Hari ni walaupun Adam tidak ingin berbicara tentang itu, Dali dapat rasakan kesedihan dari wajahnya.

Dali meletakkan cawan minuman di meja dan dengan rasa rendah diri, dia melutut dengan sebelah kaki, menunduk kepala di depan tuannya ini.


“ Saya bersumpah bahawa saya akan melindungi dan bekorban demi tuan muda. Mulai detik ini, nyawa dan jiwa saya hanya kepunyaan tuan. “ ikrarnya.

Suasana menjadi sunyi seketika. Adam hanya memandang Dali yang sedang menunduk di depannya ini.. Dali yang lebih muda setahun darinya, Dali si kecil yang dijumpainya .. Dali yang tiada sesiapa melainkan keluarga ini.

Dali ini.

“ Bodoh. Siapa suruh kau cakap bukan-bukan ha!  “  marah Adam sambil mencekik leher Dali ala-ala gusti.


“ Terima kasih. “ katanya dan melepaskan Dali.

Dali lihat Adam mengesat air mata yang berkaca.

Ya.. Dia akan melindungi Adam..Lebih dari nyawanya sendiri 



Dali memandang langit yang membiru di angkasa. Kenangan silam yang mengimbau di benak fikirannya buatkan hatinya rasa pilu.

Dia gagal mengotakan janjinya pada Adam..

                                                      "      Adam.......... "


previous            
next



' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'

Jumaat, 25 Februari 2011

Suara Mytamor 14



Adam mengherot ke belakang sedikit. Rasa terkejut, tergamam dengan situasi ini dan otaknya ligat berfikir tindakan dan reaksi seterusnya untuk situasi seperti ini. Baru sekejap tadi dia rasa seolah-olah lemas di dalam gelembung pelik tadi. Kemudian sesaat kemudian, dia berada di sini, sebuah taman indah yang tidak pernah dibayangkannya.

Pelik..
Mimpi kah? 

Dia mencubit pipi kanannya. 

‘Auchh!!!”

Ini bukannya mimpi!

Gadis di depannya ketawa, lucu melihat dia yang seperti orang bodoh.
Peliknya, rasa gementarnya hilang tatkala melihat senyuman gadis itu. Banyak gadis yang pernah dijumpainya di negerinya , tidak pernah dia melihat seorang gadis yang secantik bidadari ini. 

“ Nama saya Airis. “ bibir merah bak delima itu bersuara.

Dia menelan air liur. Bukan sahaja kecantikan gadis ini memukaunya malahan suara milik gadis bernama Airis ini lembut dan merdu, sepadan dengan kecantikan yang dimilikinya. 

“Mana saya ni?”

“ Di dunia saya.’ 

Adam memandang Airis pelik. Dunianya? Apa maksud itu?

Dan persoalannya terjawab apabila dia sedar bahawa,  sekelilingnya bukannya hutan Heratus yang dikenalinya. 

Di sini, adalah sebuah taman yang indah lebih tepat taman yang tidak masuk akal. 

Sekelilingnya pokok merimbun dengan dedaun yang berwarna biru. Hamparan rumput yang terasa di bawah kakinya, berwarna putih seakan salji dan selembut kapas.  Di udara pula terdapat buih-buih kecil warna warni yang menghasilkan bau bunga lavendar.

Airis bangkit menuju ke kolam air terjun di situ. Dia duduk di pinggir dengan mencecahkan kakinya di permukaan air dan bila kakinya menyentuh permukaan air itu, kolam air terjun itu berkocak dan menghasilkan cahaya seakan lampu neon dan serentak titisan air yang bercahaya terbang naik ke udara, seakan tersejat.


Suasana yang pelik tetapi menakjubkan.

Adam masih kaku ditempatnya, masih tertanya-tanya, memikirkan situasi yang pelik disini. 

Dia ingin mempercayai yang ini semua adalah mimpi sahaja, namun pabila melihat lengan bajunya yang koyak, kesan darah dari luka di kakinya dan juga kepalanya yang berkesan darah yang mengering, dia tahu ini bukannya mimpi. Ini terlalu benar untuk menjadi sebuah mimpi.

Dia masih lagi ingat akan dirinya ditarik masuk ke dalam gelembung misteri itu dan kejadian itu masih lagi jelas di ingatannya. Jadi, jika semua itu benar, di manakah dia? Di dunia atau dimensi yang lain kah? Atau di dunia magika? 

“ Nama saya Adam.” 

Adam menghampiri gadis misteri bernama Airis itu. Tanpa pelawa dia duduk di sisi Airis. 

“ Awak dah tak takut?” Tanya Airis seakan mengetahui bahawa tadi Adam keliru. 

“ Takut.. Tapi..  entahlah. Sekarang ni rasa lain. Rasa macam..."

Adam diam sekejap, memandang Airis lama sebelum dia mengutarakan ini..

" Kita pernah jumpa ke?"


Ya, dalam situasi ini, keadaan ini, macam kelakar sahaja bila ayat yang ditanyanya ini seperti sedang meng'ayat' awek yang baru dijumpai di perhentian bas. Sekiranya di tempatnya, dia pasti akan menjadi bahan gelak Dali.

Namun, apa yang dirasakannya ini adalah benar, dia yakin dia pernah berjumpa dengan Airis. Rambut ikal panjang dan matanya yang jernih itu mengingatkan dia kisah waktu ketika kecil dahulu. 

Kisah dia dikatakan diculik bunian dan 24 jam selepas misi mencari dilancarkan, Tuan Arif menjumpai dia sedang lena tidur di kamar walhal dia sepatutnya hilang di hutan. Dan pabila disoal, dia yang ketika itu berusia 5 tahun memperihalkan kisah dia berjumpa seorang budak perempuan bersayap?

Pantas Adam menjeling ke tubuh airis, gadis ini tidak mempunyai sayap. Dia kelihatan seperti gadis biasa, manusia biasa tetapi mempunyai kejelitaan yang tidak tergambar. 

“ Ya, kita pernah berjumpa.” Jawab Airis. Dan disebalik cahaya dari percikan air terjun yang tinggi itu, Adam lihat Airis betul-betul serius. Dia menyentuh dada Adam yang bidang dengan jemarinya yang runcing itu. 


" Kita berjumpa di sini..." 


Dup.. dap.. dup.. dap...




' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'

Rabu, 23 Februari 2011

Suara Mytamor 13



Adam!!!!!!!!” 

Bergegar kamar biliknya dengan jeritannya, dan serentak tiga orang pengawal berlari masuk. 

“ Keluar! Aku cuma bermimpi.” arah Dali pada mereka yang masih terpinga-pinga tidak mengerti, namun hanya mengikuti sahaja arahan ketua mereka.

Dali mengambil jubah tidurnya yang tergantung dan menuju ke jendela yang tertutup. Si Bising yang terganggu lenanya memerhatikan sahaja Dali yang kelihatan resah , memikirkan mimpinya. 

Jendela dibukanya dan di luar, tasik yang luas memantulkan bayangan bulan mengambang malam ini. Dali mengeluh. 

Sudah berulang kali mimpi ini menganggu tidurnya dan berulang kali jugalah dia akan berada di tepi jendela ini, menyalakan rokok dan memerhatikan malam berarak pergi. Dan bila pagi menjelang, dia akan menyarung pedangnya,  menuju ke Hutan Heratus. 

Seperti mana asap rokok yang keluar perlahan-lahan dari setiap hembusan, begitu jugalah memori hari dia mana dia kehilangan Adam berulang di mindanya.

Saat Si Bising terbang keluar dari Hutan Heratus,  mendapatkannya yang berada di kumpulan kerahan mencari Adam, hati Dali sudah membisik firasat yang buruk. 

Mytamor...Mytamor!!! ark..Arkk.... Mytamor! Mytamor!!”

Ulangan jeritan Si Bising itu tidak akan dilupainya walaupun dirinya dimamah usia.

Dia mendekati Si Bising yang kini sedang melelapkan matanya. Paruh Si bising diusapnya penuh kasih sayang. 

Ya, sejak kejadian itu, Si Bising tidak tahu mengucapkan perkataan selain perkataan Mytamor. Trauma kehilangan Adam itu juga dirasai dirinya, terpahat di hatinya untuk selamanya dan dia akan terus menerus membalas dendam di atas kehilangan yang dirasainya kini. 

Dali mengambil pedangnya dan terus keluar. 

Dia akan gerak awal hari ini, praktis sehingga pagi dan kemudian ke Hutan Heratus. 

Kerana sejak detik itu, dia bukan lagi Dali – serf Tuan Adam. Dia kini dikenali sebagai..

Dali- Si pemburu Mytamor.

previous                                                                     next

Pintu kamar dikuncinya. 



' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'

Isnin, 21 Februari 2011

Suara Mytamor 12


Kur...kur.. kur....

Bunyi burung yang saling bersahutan mengejutkannya . Perlahan-lahan kelopak matanya dicelik dan sekilas itu juga rasa sengal dan pedih menusuk setiap deria rasanya. Adam menepis dedaun yang luruh jatuh menimpa tubuhnya dan bingkas meninjau sekeliling.  

Kur..kur...kur...

Adam sedar kicauan itu bukannya milik Si Bising. 

Darah yang hampir kering dari luka di dahinya dikesatnya perlahan. Berdasarkan cuaca yang terik, Adam andaikan masa sudah menjangkaui  tengah hari. Semalaman rupanya dia tidak sedarkan diri.

Adam memerhatikan kelilingnya, kalau-kalau makhluk itu masih di situ. Tiada apa-apa tanda yang menunjukkan ia masih di situ membolehkan dirinya bernafas lega. Syukur dia dapat melarikan diri dari makhluk yang mengejarnya semalam.Walaupun dia akhirnya jatuh dari tebing curam semasa edisi kejar mengejar itu, dan tidak sedarkan diri kemudiannya, sesungguhnya dia berasa bersyukur bahawa dirinya selamat dari cengkaman makhluk-makhluk pelik itu. 

Sekarang, dia cuma ingin cari jalan pulang. 

Dengan ketidakhadiran Si bising yang hilang semasa kejaran itu, Adam tahu dia lebih sukar mencari jalan kembali. Tambahan dengan tiada ilmu selain dari ilmu perbisnesan, dia semakin buntu mencari jalan keluar.

“Adam.....” 

Dia menoleh pada suara yang memanggil namanya. 

Tiada sesiapa. 
Hanya ada dia dan rimbunan hutan yang membisu.

“ Adam...........” sekali lagi suara yang lembut gemersik itu menyebut namanya. Dan seperti alunan angin yang bertiup lembut, kakinya melangkah mengekori suara itu. 

“Adam...........”

Siapa? Siapa itu?!!

Adam yakin suara itu tidak asing bagi dirinya. Dia pernah mendengar suara itu. Suara yang sentiasa menghantuinya di dalam mimpi. 

Sentiasa memanggilnya. 

Kini, ia sedang memanggilnya.

“Mimpi kah?  Aku pasti bermimpi...”berulang-ulang akalnya memujuk dirinya.

‘Adam........” 

Akhirnya dia berhenti. Berrhenti di punca suara yang  mendayu-dayu memanggilnya. 

Di depannya kini terdapat suatu gelembung lutsinar yang berbentuk cembung. Permukaan lutsinar gelembung itu bergerak-gerak seperti alunan di permukaan air. 
Pelik. 

Adam menghampiri gelembung misteri itu dan dengan perasaan ingin tahu dan keberanian yang masih ada bakinya, dia menyentuh permukaan gelembung itu.
Sejuk. 

Seperti menyentuh ais ketul. Dingin dan sejuk. 
Sekali lagi Adam menyentuhnya dan serentak sepasang tangan keluar dari gelembung itu, menarik dirinya masuk ke dalam. 


' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'

Selasa, 11 Januari 2011

Suara Mytamor 11


Bodoh! Bodoh!

Berulang kali Adam memaki dirinya sendiri. Mengapalah dia terlalu bodoh sangat.

Langit yang semakin merah, menandakan senja yang semakin menjelang tiba direnungnya. Kemudian dia melabuhkan punggungnya pada sebuah batu besar buat istirehat. Si Bising yang dari tadi terbang di sisinya, hinggap di bahu kirinya. 

Hutan Heratus. Sebuah hutan yang misteri dan ditegah untuk didekati sejak dia kecil lagi. Tidak sangka hutan ini begitu tebal dan liar. Maksudnya hutan ini sememangnya tidak pernah diterokai oleh manusia dan dialah manusia pertama yang bodoh kerna berani secara membabi buta memasuki hutan ini. Dan tanpa arah dan petunjuk,kini dia semakin tenggelam jauh ke dasar isi hutan misteri ini. Setiap langkahnya membawa dirinya lebih jauh ke isi perut hutan misteri terlarang ini. 

Adam mengesat keringat peluhnya yang terasa basah di dahi. Rasanya sudah berjam-jam dia berada di sini.

Aduh, kenapalah dia begitu pandai sangat untuk ke sini? Agaknya apalah keadaan di rumah sekarang? Pastinya ayah dan ibu murka. Dan yang paling membimbangkannya adalah keadaan Dali. Pasti sahabatnya itu rungsing dan tidak keruan. 

“ Cis.. buat apa nak fikir pasal dia.” getus Adam sebaik sahaja teringatkan perbualannya dengan Dali tadi. Ya, betapa egoisnya Dali membuat kenyataan tentang Mytamor.
Peliknya, kenapa lah agaknya Dali berubah tanggapan tentang mytamor? 

Adam menongkat dagu sambil memandang sekeliling.
“ Bosannya!” jeritnya seorang diri,dan selang saat kemudian, suara jeritannya bergema. Nampak sangat hanya dia sahaja di sini. Cuma dia. 

“ Oklah Bising! Kita kena cari jalan pulang. Agaknya memang tiada apa di sini. “ kata Adam pada Bising, seolah-olah burung peliharaanya itu mengerti bicaranya.

Namun, belum sempat dia ingin memikirkan arah jalannya untuk melepaskan diri dari kesesatan ini, dia terdengar bunyi berdeguk yang kuat. Seolah-olah ada sesuatu yang memerhatikan dia selama ini. Bunyi degukan itu semakin kuat, membuatkan dia tiba-tiba terasa cemas tanpa sebab.

Prak!
Ranting seolah-olah dihempap sesuatu yang tersangat.

Prak..
                  Prak!!

Adam menoleh pada sumber bunyi yang semakin kuat itu. 

HsssSSS!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Adam terkejut. Makhluk di depannya yang tiba-tiba muncul betul-betul hanya 2 kaki darinya mendesing kuat. Matanya yang hitam itu merenung tajam pada Adam, marah dan bengis dan kerana itulah Adam rasa segala sendinya menjadi longlai tidak bermaya.

HssssssssssSSSSSSSSSSSSSSSSSSSSSSS!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Makhluk buruk yang persis manusia itu melangkah mendekati Adam. Setapak demi setapak. Dan air liurnya meleleh dari mulutnya yang terbuka luas,  mempamerkan susunan gigi  yang tirus tajam ibarat sang jerung di lautan . 

Adam membatukan diri. Di fikirannya, dia perlu melarikan diri. Rasanya makhluk ini tidak mungkin dapat menganggak apa yang difikirkannya. 

Perlahan-lahan Adam berundur, setapak demi setapak dia cuba menjauhkan diri dari makhluk itu yang semakin kelihatan tidak sabar ingin meratahnya. 

1…
Kira adam dalam hati. Dia berundur lagi..

2..
Makhluk itu mengerakkan kepalanya, seakan-akan menanti tindakan Adam seterusnya.

3!

Badan dipusingnya secepat kilat dan kakinya diangkat untuk  melakukan larian pecut bagi menyelamatkan dirinya. 

Namun,  segala yang dirancangnya terbantut. Saat ini dia hanya terkedu, terpaku memandang 5 ekor makhluk yang sama sedang menanti nya dari arah belakang. Rupanya sejak tadi dia sudah dikepung. Makhluk-makluk itu menyeringai…

EEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEEE!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


 previous    

                                                                                      next





' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'

Jumaat, 7 Januari 2011

Suara Mytamor 10


Ini semua untuk kau, Adam. Semua yang aku lakukan ini SEMUANYa, hanya demi engkau, Adam. 

Cing, cing,

 Bunyi pedang berlaga membingitkan suasana.

Kau kata kebenaran??!! Tiada yang indah dari kebenaran itu. Semua ini tidak cantik seperti yang dilihat dan dibayangkan.

Dali membalikkan dirinya, mengelak dari serangan pihak lawannya. Dia menepis kaki pihak lawan dan lelaki itu terjatuh.

Cing!Cing!

" Jadi sila lindungi Adam dari ancaman ini dan pemikiran gilanya tentang mytamor. Saya tidak mahu kehilangan insan yang disayangi sekali lagi. Saya percayakan kamu, Dali. "

Ya, tuan Arif mempercayaiku  untuk melindungi Adam. Kepercayaan ini tidak patut disia-siakannya. AKU akan melindungi Adam. AKU akan jadi lebih kuat untuk melindungi kau, Adam. 

Dali jatuh saat perutnya ditendang kuat dari lelaki yang berbadan besar itu. Senak, perit… segalanya ditelannya. Dia bangkit untuk meneruskan perjuangan ini.

“ Ibu sebenar Adam dibunuh mytamor di depan mata Tuan Arif sendiri.”

“ Berhenti!!”

Latihan terus diberhentikan. Semua pelatih memandang pada Tuan Arif yang memerhatikan mereka sejak tadi. Lelaki yang mempunyai misai yang lentik itu dan mata yang berurat garang itu , mendekati Dali. Bahu Dali ditepuknya lembut.

“ Kamu masih belum mengeluarkan sepenuhnya kebolehan dan ketangkasan kamu. Fikiran kamu dan hati kamu mesti ditumpukan pada hujung pedang ini, bukannya di tempat lain.” nasihat Tuan Arifseakan tahu yang dia tidak menumpukan perhatiannya sejak tadi. 

“ Ingat! Pedang ini nyawa kamu. Leka, kamu akan mati.” sambung tuan Arif lagi. 

Tuan Arif kemudian terus beredar, memberi kesempatan pada pelatih-pelatih muda ini untuk melepaskan lelah selepas lebih dua jam berlatih pedang di sini. Dan bermula-mula bisik-bisikan dari teman seperguruan yang lain.

“Huh, serf pun ada hati nak belajar pedang. Sepatutnya golongan camni duduk mengelap kasut tuannya sahaja.” 

“ Entah. Tuan Arif dah buang tebiat kot.” 

Dia sudah lali dengan cakap-cakap itu.

Tanpa mempedulikan mereka, Dali terus duduk di satu sudut yang lebih jauh dari rakan-rakan pelatihnya yang lain. Air dari botol kecil yang dibawanya dihirup sepuas-puasnya.

Dia memandang langit yang luas. Teringatkan perbualannya dengan Adam, dia rasa serba salah. Mungkinkah Adam akan membencinya?

Namun apa yang dibuatnya ini semua adalah untuk Adam. Dia ingin melindungi Adam! Dan mytamor bukanlah satu hakiki yang dapat merealisasikan semua ini. Selagi Adam tidak bertembung atau mendekati mytamor, dia yakin tiada apa yang akan terjadi.

Darahnya tetiba berderau naik sebaik sahaja mengingati mytamor dan kebenaran bentuk mytamor yang sebenar tempoh hari. Kebenaran yang menakutkan. 

Cepat-cepat dia memeluk tubuhnya yang masih tinggal sisa baki gigilan. 

Dia tidak pernah rasa takut sehingga begini dan kerana itulah,dia ingin jadi lebih kuat. 


Dia tahu Adam pasti akan terkejut dengan kebenaran tentang mytamor ini  nanti seperti juga dia.
  
Namun, kebenaran tentang mytamor akan dia beritahu satu hari nanti pada Adam. Tentang kematian ibunya… semuanya. Dia cuma perlu masa. Adam juga..

Waktu ini, dia cuma ingin jadi lebih kuat sebagai pelindung Adam. Itu tekadnya. 

Semua ini untuk Adam!!

Selagi dia dapat menjauhkan adam dari mytamor, dia tahu Adam akan selamat. Dia takkan biarkan Adam menjadi mangsa mytamor seperti arwah ibunya. Itu sahaja.

“ Tuan muda Adam melarikan diri!!!!”

Dali tersentak.

previous                                                                                                                              next


' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'

Rabu, 5 Januari 2011

Suara Mytamor 9


Dia mengatur langkah ke kamar Adam. Rasanya sudah lebih seminggu mereka tidak bersua muka. 

Jadualnya yang terlalu padat bagi mengikuti latihannya sebagai pemburu mytamor membuatkan dia tiada kesempatan  untuk melayani Adam.

“Tok,Tok,Tok”

Pintu kamar Adam diketuknya 3 kali.

“ Masuk.”

Sebaik sahaja Dali melangkah masuk, kelihatan Adam sedang membaca sebuah buku lama, langsung tidak mengendahkan kehadirannya. Dia seolah-olah terlalu taksub dengan kandungan buku yang kelihatan lama dan buruk itu.

“ Tuan muda..” tegur Dali perlahan.

“ Dali!! Kau lihat ini! Aku jumpa journal Prof. Afiq.” Adam petah memotong kata-kata Dali. Dia menyuakan buku journal yang usang itu pada Dali. Riak wajahnya begitu gembira.

“ Aku dah sedikit memahami transkrip di dalamnya. Di situ tertulis dari A sampai Z, bagaimana Prof Afiq menghasilkan mytamor yang pertama. Di sini juga tertulis keazaman, keinginan, tujuan dan impian prof Afiq sebagai pencipta makhluk lagenda mytamor. Kau tak teruja kah??”

Dali menyelak mukasurat buku itu yang hampir terlerai dari bingkainya. Kertas kuning itu tertulis formula-formula yang tidak Dali fahami. Kemudian di muka surat yang lain pula, catatan ringkas kehidupan professor  itu. Sehariannya dalam tempoh hidupnya. Semuanya berkisar akan mytamor.

“ Mana kau jumpa ?”
“ Ingat tempat runtuhan yang berdekatan dengan hutan di hujung sempadan sana?”

Dali mengangguk. Tak mungkin dia lupakan runtuhan itu. Runtuhan yang dulunya merupakan makmal professor Afiq- pencipta mytmor. Tempat di mana dia dan Adam selalu bermain di zaman kanak-kanak. Di situlah, mereka berdua mula mengetahui tentang kewujudan makhluk mytamor itu. Dan di situ jugalah, mereka sentiasa menghabiskan masa lapang dengan mengkaji dan mencari bukti-bukti lain mengaitkan dengan mytamor- makhluk mistik itu.

“ Kau masih ke sana?’ soal Dali.

“Tak kisah lah. Tetapi aku dah berjaya memahami kod-kod yang tertulis di sini.”

Adam mengambil buku itu dari Dali dan terus membuka ke satu mukasurat yang tertulis;



Dali memandang Adam tidak mengerti.

“ Aku pun tidak berapa faham semua tulisan di sini.. tetapi… aku dah mengkaji dan kalau tak silap aku ini tertulis… Airis..”

Dali hanya memandang Adam yang kelihatan begitu teruja dengan penemuannya itu.

“ dan ini.. bermaksud.. heratus.

“ Tuan muda..”

“ Dengar, dengar! Airis heratus… Hutan Heratus. Ingat?? Dekat dengan runtuhan itu terdapat hutan yang bernama Heratus kan?”

“ Tuan muda..”

Airis. Ni aku tak tahu apanya, tapi aku rasa ada sesuatu di Hutan heratus itu. Kenapa bapa aku arahkan semua jangan menghampiri hutan itu? Kenapa? So… aku rasa di situ Prof Afiq ada lagi satu makmal, atau rahsia.. atau mungkin sesuatu…”  Adam terus menerus menyatakan keghairahannya untuk semua ini. Wajahnya tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan gembiranya dengan penemuan ini. 

“ Lupakan sahaja semua ini tuan muda.”

“ So, apa kata kalau kita berdua pergi ke hutan itu? Jom? Malam ini?” ajak Adam.

“ Tuan muda…”

“ Bapa mesti takkan baginya. So malam ini kita curi-curi kelu…” Adam terus menerus tidak mengendahkan pendapat Dali. 

“ Tuan Muda!!”

Adam tersentak. Ditempik begitu.  Inilah kali pertama Dali meninggikan suara pada dirinya. Ia rasa berbeza sekali. Dipandangnya Dali yang kelihatan marah itu.
  .

“ Baik tuan muda berikan perhatian pada tunangan tuan muda. Lagipun majlis perkahwinan akan dilangsungkan minggu depan.”

‘ Tapi ini pasal mytamor…”
“ Lupakan pasal makhluk itu. Tuan muda tidak perlu libatkan diri dengan semua kegilaan ini. “

“ Apa kau cakap ni!” bentak Adam. Terkejut kerana temannya yang selama ini sependapatan dengannya sangat berlainan kali ini. Dali hanya membisukan diri. 

“ Hey, Dali. Lupakah kau pada janji kita? Sejak kali pertama kita menjumpai runtuhan itu, kita bersumpah akan mencari kebenaran dalam semua ini. Kita akan sama-sama....  ”

Pintu kamar tiba-tiba diketuk sebelum sempat Adam menghabiskan kata-katanya. 

“ Masuk.”

Seorang wanita muda memasuki kamar Adam.

“ Tuan Arif memanggil Dali. Katanya latihan akan dimulakan.” Wanita itu meninggalkan pesan. Dali mengangguk.

“ Tuan muda, percayalah kata-kata saya. Tiada apa yang baik datang dari raksasa itu. Saya sangat berharap tuan muda tidak melibatkan diri dengannya.” 

“ Dali..” panggil Adam sebelum Dali beredar.

“ Kau kini tak ubah seperti Tuan Arif. Mytamor bukan raksasa!! ”

Dali terus keluar. 

Previous                                                                                                    next


' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'