Sayap bewarna ungu kebiruan itu direntapnya kuat tanpa was-was. Untuk menanggalkan sayap yang cantik itu dia tahu dia perlu mengoyakkannya sekuat hati dari tubuh pemiliknya. Itu adalah pesan tuannya sebelum mereka keluar memburu.
Pemiliknya menjerit keperitan saat anggotanya dicabut keluar. Nyaring dan bingit. Namun, Dali tahu tiada belas kasihan dalam pekerjaannya ini dan dia cuma memtulikan pendengarannya ini. Kerana ini adalah tugas!
Serentak darah merah memercik membuak-buak dari luka tubuh pemilik sepasang sayap itu.
Dali mengesat darah yang memercik di wajahnya sambil memerhatikan pemilik sayap yang malang itu.
" Kenapa? Kau kasihan ke?"
Aro yang lebih senior dari dirinya menyoal kasar.
Sayap yang ditanggal tadi dibeleknya. Besarnya sebesar pemeluk seorang dewasa, seiras dengan kepak rama-rama tetapi ia lembut seperti kapas dan warnanya yang pelik menyinar-nyinar saat dipancari cahaya bulan malam ini. Nampaknya hasil tangkapan mereka ini berbaloi. Tidak sia-sia sebulan mereka menapak di hutan hujan ini. Akhirnya, mereka dapat kembali ke bandar dengan membawa hasil yang lumayan.
Dali merehatkan punggungnya di sebuah batu besar. Keringat peluh di dahinya dikesatnya lemah. Sekali lagi dia memandang pemilik sayap yang malang itu. Ia mempunyai sepasang mata yang cantik, sama seperti sayapnya, bewarna ungu. Dan mata itu merenung mereka tajam tanpa suara.
" Kali pertama kau jumpa mytamor? Cantik bukan?" kata Aro seakan mengetahui apa yang difikirkan Dali yang sejak tadi memerhatikan mytamor itu.
Dali mengangguk.
Selama ini dia cuma melihat gambar makhluk ini di buku. Tidak langsung terlintas di fikirannya ia begitu cantik dan menakjubkan seperti ini.
Aro memasukkan sayap itu dengan hati-hati ke dalam karung. Ketua pasti akan gembira. Walaupun cuma berjaya memperoleh sepasang sayap, ianya antara yang tercantik dan berkualiti pernah Aro kumpulkan. Pastinya tuan mereka akan gembira.
" Sudah! Mari balik!"
" Hei!"
Dali menghalang Aro saat lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau pendek dari kocek seluarnya.
" Kau nak buat apa?Kau nak bunuh ia ke?"
Aro tidak mempedulikan bantahan Dali. Ditolaknya Dali ke tepi dan dia mendekati mytamor itu yang sedang perlahan-lahan merangkak cuba melarikan diri. Namun setiap kali ia bergerak, setiap kali juga darah dari luka sayapnya mengalir, membuatkan tubuhnya kehilangan tenaga menahan kesakitan itu.
" Kau tak kasihan ke?"
Dali memandang mytamor yang dalam ketakutan itu. Walaupun begitu, ia masih tidak bersuara mahupun melawan, hanya mata ungunya memandang mereka berdua, seakan merayu pinta dilepaskan dari ancaman ini.
" Banyak cakaplah kau ni! Kalau kau kasihan jangan jadi pemburu!"
Dali tersentap. Apa yang Aro cakap adalah benar. Dia sendiri tahu saat dia menerima jawatan ini, dia harus membuangkan segala rasa kasihan pada makhluk ini. Namun, hatinya begitu sayu saat melihat mytamor ini. Bukan hanya disebabkan ia cantik tetapi disebabkan ia begitu lemah dan lembut. Suci seperti seorang perawan.
Aro mendekati mytamor itu dan tubuh yang dipenuhi darah merah itu, dipijaknya, menahan ia dari bergerak. Dali lihat mytamor itu meronta-ronta cuba melepaskan diri tetapi kudrat tenaganya tidak mampu melawan manusia seperti Aro.
Akhirnya, Aro berjaya menusuk pisaunya pada leher mytamor itu. Dali hanya memejam matanya tidak sanggup melihat semua itu.
" Dah jom."
Saat Dali membuka matanya, daun-daun dari pokok-pokok di hutan rimba ini berguguran jatuh ke tubuh mytamor yang kini terbaring kaku di lantai hutan ini. Seakan-akan meratapi kehilangan makhluk ini.
Bukan itu sahaja, riuh rendah binatang-binatang liar di hutan ini seakan-akan menjadi suara bagi mytamor yang malang iitu. Dali sempat melihat sekilas di celahan hutan ini, seekor rusa memerhatikan mereka, seolah-olah berkata...
" Pembunuh!! "
" Pembunuh!!"
" Woi! Yang tercengang kat situ buat apa! Jom balik!" panggil Aro saat melihat Dali masih lagi tidak bergerak dari tempatnya. Mereka harus meningggal tempat ini memandangkan tugas mereka sudah selesai.
Dali mengangguk dan mengikut langkah Aro. Di fikirannya, masih teringat pandangan mytamor itu. Memukau, mengasyikkan dan menyedihkan.
Sekiranya dia dapat bawa pulang seekor mytamor ke bandar, makhluk lagenda itu pasti lebih bernilai dari kepaknya. Namun, dia tidak faham kenapa tuannya tidak mahu mytamor dibawa pulang hidup-hidup.
" Mytamor…." Kata Dali perlahan. Ia sesuatu yang menakjubkan .