Mula-mula dia ingat benda ini adalah untuk
sementara. Alisya yang jarang-jarang berjumpa dengannya. Ia bermula dengan
begitu mengejut. Di majlis hari jadinya yang ke -13, dia nanti-nantikan Alisya,
namun bayang Alisya langsung tidak kelihatan hinggalah ke lewat petang.
“Alisya tak dapat datang. Dia ada benda lain nak buat.”
Benci betul dia melihat senyuman yang
disengajakan itu. Jauh dihatinya, dia tahu itu satu pembohongan.
Keesokan harinya, dia datang ke rumah
Alisya dengan harapan untuk berjumpa dengan Alisya. Sebaik pintu dibuka, Mek
Jah menahannya dan disebaliknya Mek Jah, Neal lihat senyuman sinis dia
yang seolah-olah bergembira dengan penderitaan Neal.
“
Alisya tak nak jumpa kau!” Satu pembohongan lagi!
Dengan berat hati, Mek Jah menutup pintu,
membiarkan Neal berdiri berseorangan di luar, yang masih tidak berganjak. Hatinya
rasa begitu sakit dan perit lebih-lebih bila dia mengetahui perubahan
ini. Namun, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya untuk menghentikannya.
Dia rasa dirinya begitu tidak berkuasa, lemah, tidak berguna! Seorang remaja lelaki yang berusia 13 tahun yang tidak mampu berbuat apa-apa.
Putus asa? Dia tidak pernah fikir begitu. Dia terus menerus datang kembali ke banglo
Alisya, tidak putus-putus berusaha untuk bertemu Alisya. Hinggalah, pintu pagar
rumah banglo itu dikunci selamanya dari
menerima kehadirannya lagi; yang akhirnya berjaya menghentikan kunjungannya .
Kecewanya dia! Marahnya dia! Semua itu membuak-buak dihati Neal, namun dia
tidak mampu membuat apa-apa.Tetapi dia tidak pernah terfikir yang perkara ini akan
berlanjutan untuk selamanya.
Setahun berlalu. Mereka berdua tidak pernah
bertemu lagi. Tetapi, Neal tidak pernah sekalipun berhenti mengharap. Dia sentiasa
mengambil tahu tentang Alisya.
Ya, memang Alisya tidak pernah lagi keluar dari
rumah banglo itu. Ya, memang Alisya sudah berhenti hadir ke
sekolah.
Dan, Neal juga sudah lama tidak mendengar lagi
bunyi piano dari rumah banglo itu.
Tapi, Neal tidak pernah berhenti
memerhatikan Alisya.
Bulan November, hujung tahun.
Neal bergegas ke sekolah rendah kampungnya.
Hari ini, result UPSR keluar dan dia baru sahaja dapat tahu dari dua budak
lelaki darjah enam yang baru pulang dari sekolah, yang Alisya ada di sekolah
mengambil keputusannya. Alisya merupakan salah seorang pelajar yang mendapat
5A. Sebaik sahaja sampai di sekolah, dia melilau seakan gila mencari Alisya.
“ Alisya, dia dah balik.” kata salah
seorang budak perempuan bertudung litup yang sedang bergembira dengan kawan-kawannya. Mereka
semua mendapat 5As dan masing-masing kelihatan ceria.
“ Baru juga dia balik, rasanya baru je
dalam 10 minit begitu...” sambungnya lagi. Tanpa lengah hinggakan terlupa
mengucap terima kasih padanya, Neal pantas berlari keluar, cuba
mengejar Alisya, mengharap yang dia masih sempat menahan Alisya.
Dia sampai ke banglo Alisya, dan dari jauh dia dapat lihat Alisya yang betul-betul berada di depan pagar rumah, sedang membuka kunci pagar.
“ Alisya!!! “ panggilnya sekuat hati dengan
harapan Alisya menoleh padanya.
Teriakannya menarik perhatian Alisya yang kelihatan sugul dan serta merta wajahnya berubah ceria saat melihat kehadiran Neal, begitu jua Neal.
Rambut panjangnya yang diikat tocang yang
selalu Neal tarik. Pipinya yang tembam, matanya yang bulat dan senyumannya yang
manis itu, sangat Neal rindui. Baru sahaja Neal ingin melambai pada Alisya, dia ternampak kelibat Mek Jah dan
insan yang selama ini membohonginya,
yang menghalang pertemuan dia dan Alisya. Dia tahu, buat masa ini, dia tak mungkin
dapat mendekati Alisya dan berbicara mesra dengan Alisya seperti yang diingininya.
Namun, dia mahu Alisya tahu yang selama ini, dia masih
mengingat Alisya, memerhatikan Alisya, berada di sisinya. Tidak sekalipun dia akan lupakan memori mereka bersama, saat-saat mereka bersama. Dia tak mungkin
lupakan Alisya.Dia masih ingin kekal menjadi sahabat Alisya, menjadi temannya, seperti dulu.
“ Alisya!! Tahniahhhhhhhhhhhh!!!
Tahniah!!!!!!!!!!!! Horeyy!! Horeyy!!!”
laungnya sekuat boleh sambil mengangkat tinggi kedua belah tangannya,
melambai-lambai dan meloncat-loncat gembira dari jauh.
“ Hahahaha!!”
Senyuman Alisya melebar
diselangi dengan ketawa. Dia mengesat air mata yang bertakung di matanya.
“ Horeyy!! Tahniah!!! Alisya! Tahniah sebab
dapat 5A!!” jerit Neal lagi.
Lambaiannya semakin rancak. Dan Alisya terus
menerus ketawa dan tersenyum dalam tangis. Hatinya sebak. Dia sangat merindui suara Neal, diri Neal, kenangan mereka, semuanya. Setahun yang berlalu sangat menyeksakan. Dia juga ingin mengucapkan sesuatu
pada Neal, dia juga ingin menjerit pada Neal, membalas lambaiannya,
meloncat-loncat dan berlari mendekati Neal.
“ Masuk!” tangan Alisya direntap kasar.
Alisya ditarik masuk ke rumah. Dan sebelum pintu ditutup, Alisya sempat
memandang Neal yang masih melambai-lambai padanya. Mulutnya menyebut perkataan
terima kasih yang tidak dapat Neal dengar. Pintu ditutup dan dikunci.
Neal berhenti melambai. Dia kini berdiri
kaku, merenung banglo yang terkunci dari pandangannya. Teringatkan wajah sayu Alisya sebelum pintu
ditutup dan suara Alisya yang tidak sampai ke telinganya, Neal tahu pintu
banglo ini tak mungkin terbuka lagi untuknya. Hatinya mula berbisik yang ini mungkin untuk selama-lamanya.