Serpihan-Serpihan Cinta

...
SERPIHAN CINTA

Khamis, 17 April 2014

Berikan kujawapan 81




Ris mengigit kuku jarinya sambil ulang alik di depan bilik di mana Arsya di kurung. Sudah terlalu lama, sudah berbulan-bulan, Arsya berdegil yang dirinya adalah Alisya. Adakah dia silap? Tak mungkin! Arsya bijak berpura-pura, malah bila dia menyamar sebagai Alisya, tidak sesiapapun akan tahu. Dirinya juga berkali-kali tertipu. Lebih penting lagi, dia sendiri melihat mayat Alisya tempoh hari, dia sendiri menanam tubuh kaku itu dan dia sendiri diberitahu Arsya akan helahdan sasarannya seterusnya- Neal. Jadi kenapa Arsya masih berpura-pura di depannya? Melainkan Arsya memang sudah hilang ingatan?

Pintu bilik Arsya dibukanya perlahan, di dalam Arsya sedang tidur, tidak menyedari kehadirannya. Ris sudah tidak lagi menggunakan ikatan pada Arsya sejak sebulan lalu, malah dia telah memberikan Arsya kebebasan di dalam bilik ini. Tidak lagi mencedera dan mengugut Arsya.. hari-hari yang dilalui cuma dilaluinya dengan menghantar makanan dan memerhatikan Arsya. Dia juga sudah lama tidak bercakap dengan Arsya dan tidak pasti apa tujuan dia mengurung Arsya di sini.. Haruskah dia berhenti sampai sini sahaja?

“ Kau lemah! Lembut hati! Macam mana ni?? Tak guna!“

Ris pasti itulah yang Arsya akan cakapkan padanya, sepatutnya. Cercaan dan makian juga akan dihambur Arsya bila melihat dia begitu lemah dan buntu seperti ini.  Dan pastinya perli dan ejekan  akan diperolehnya apabila Arsya menunjukkan dirinya sebenar nanti. Dia tidak mahu semua itu. Jadi... dia tidak boleh berhenti di sini.. Dia tak mungkin silap.  Dia  yakin yang di depannya ini adalah Arsya yang sedang mengujinya. Tiada satu tanda pun yang menunjukkan sebaliknya bukan?Atau adakah di depannya ini Arsya yang betul-betul hilang ingatan? Keliru pada identitinya sendiri? Dia semakin tidak pasti. Samar-samar dengan kemahuannya. Tetapi, dia masih mengurung Arsya di sini, tanpa tujuan yang pasti.

Alisya tersentak saat terasa seseorang berbaring di sebelahnya. Serta-merta dia bangun dan memandang insan yang sedang berbaring di sisinya.-Ris. Pantas Alisya beresot ke tepi dinding sambil matanya tidak putus memerhatikan gerak geri Ris, khuatir Ris naik berang dan tiba-tiba bertindak memukulnya, atau mungkin seksual padanya. Seksual?  Sebenarnya jauh di hati Alisya, dia rasakan Ris takkan bertindak seperti itu. Ada sesuatu yang dirasanya bila melihat Ris, sesuatu perasaan yang sedih saat melihat mata Ris.. seolah-olah apa yang Ris lakukan ini bukanlah kehendak Ris. Ris, dia bukan seperti ini.. 

Sudah lama juga Ris tidak mendekatinya seperti ini, selalunya Ris cuma masuk untuk meletakkan makanan kemudian duduk jauh darinya dan diam sambil memerhati gerak gerinya. Kemudian lewat malam barulah Ris  akan meninggalkan dirinya sendirian. Mula-mula dia rasa kekok seolah-olah telah dicabul privasinya, tapi lama kelamaan dia perasan seolah-olah ada sesuatu yang difikirkan dan merisaukan Ris. Ia terlukis di wajah dan renungannya setiap kali mereka bertentang mata. Apa yang Ris sembunyikan di sebalik fikiran dan renungannya? 

Sama seperti hari ini. Ris yang baring dikatil dengan tangan kanan di dahi, smemejam mata, tidak mengendahkannya. Wajahnya kelihatan sayu... sentiasa. Kenapa? Alisya tidak mahu bertanya. Dia tidak mahu terlalu dekat dengan Ris, ataupun cuba memahami alasan Ris memperlakukannya seperti ini.  Walau apapun perasaannya pada Ris hakikatnya Ris adalah penculiknya.  Ris seorang insan yang tidak waras kerana menyangkakan dirinya adalah Arsya. 

“ Siapa awak?”

Ris tiba-tiba bersuara, dia memusingkan lehernya memandang Alisya..Lama Alisya tidak mendengar suaranya. Lemah nada suaranya, tidak bermaya, tidak seperti dulu.

“ Alisya..”

 Alisya agak yang Ris akan melenting mendengar jawapannya itu. Sebaliknya Ris diam membisu, kembali merenung siling yang kosong.

“ Alisya... “ ucap Ris perlahan. 
 “ Jika awak Alisya, adakah awak ingat apa yang awak pernah cakapkan pada saya?”

Alisya terkejut. Dia tidak ingat langsung tentang itu.  Alisya yakin dia tidak pernah kenal Ris sebelum ini ataupun selama ini, jadi apa maksud Ris seolah-olah mereka pernah bertemu? Mungkinkah Ris berhalusinasi?
  
“ Saya.. tidak pasti sejak bila saya jadi begini. Kosong.. tiada tujuan..  Masa saya seolah-olah diatur, melakukan segala yang di arah.. itu hidup saya, bersama Arsya. Saya mulai lupa kenapa saya berada di sisinya..kemudian saya teringat, wajahnya dan senyumannya. Ahh...ia sama seperti awak..” luah Ris. 

“ Saya bukan Arsya. Walau apa pun awak cakapkan, saya tahu yang saya bukan Arsya. Itu pasti! ”

Ris tersenyum mendengar jawapan yang tegas itu. Perbuatannya mengelirukan Alisya. Ris bangun dari baring, duduk memandang Alisya.

“ Kenapa? Kenapa awak tersenyum? “ marah Alisya, terasa Ris memperkecilkan kata-katanya.
“ Keyakinan awak mengingatkan saya pada Alisya.”
“ Saya memang Alisya. Berapa kali awak nak saya ulang?!” 
Kali ini kemarahan Alisya menyebabkan Ris tertawa.
“ Kemarahan  awak pula, mengingatkan saya pada Arsya..Siapa awak sebenarnya? Alisya? Arsya?” sindir Ris.  

Alisya diam. Apa sahaja jawapannya Ris tidak akan mendengarnya. Ris dah terlalu jauh hanyut dalam kegilaan ini. Ris terlalu yakin yang dirinya adalah Arsya, walaupun itu bukan kebenarannya. Walau apapun kenyataannya.Ris turun dari katil dan duduk di kerusi yang menghadap katil itu.

“ Aku tidak perlukan kau Arsya...  Tidak perlukan.. tidak.. aku... “
 Ris mengomel sendirian sambil duduk membongkok, menakup wajahnya seolah-olah sedang mengalami denyutan sakit kepala yang tidak tertahan.

“ Aku... mendambai mu, maukan kau... “ Ris hendak bangun memeluk Alisya tetapi bila melihat reaksi Alisya yang takut dan terkejut, langkahnya mati. Berbeza... kenapa segalanya berbeza?

“ Saya tak bermaksud....” kata Ris kesal. Dia kembali ke tempat duduknya. 

“ Banyak benda yang saya keliru. Apa yang saya buat di sini? Kenapa saya masih di sini? Mengapa saya ingin berada di sisi awak walaupun saya begitu bencikan awak, Arsya?  “

“ Saya tahu apa jawapan awak. Awak akan beritahu saya yang saya lakukan semua ini kerana saya mencintai awak! kan?!”
" Saya bencikan cinta. Kerana cinta ini, saya jadi begini.. Siapa saya?  Apa yang saya lakukan ini? Saya.. saya sudah terlalu 'rosak'.. cinta ini.. buat saya begini.." 

Ris merenung Alisya dengan matanya yang berkaca-kaca dengan air mata. Perlahan-lahan dia mendekati Alisya, melutut di hujung katil, betul-betul di depan Alisya.   Kedua tangan Alisya dipegangnya lembut.

 “Ya, saya cintakan awak! Saya.. sanggup lakukan apa sahaja untuk berada di sisi awak.. Jadi jikapun awak melayan saya hanya sebagai boneka, saya mahu awak ingat tentang saya, kerana memori itu walaupun perit bagi saya, ia bukti cinta saya pada awak. Jadi, saya harap awak hentikan permainan ini , kembali dan ingat.. siapa awak Arsya. “

Alisya tahu tidak berbohong, kata-katanya ini datang dari hatinya. Hatinya yang terseksa kehilangan Arsya, hatinya yang mencintai Arsya. Dia tahu perasaan itu, kerana dia juga pernah kehilangan cintanya, dia juga pernah menunggu cintanya..

“ Maafkan saya Ris.. Saya bukan orang yang awak cintai. “

Ris melepaskan tangan Alisya, berdiri membelakangi Alisya, memandang ke atas cuba menghentikan rasa sebak di hatinya, seolah-olah sudah mengagak jawapan itu. 

" Jadi apa perlu saya lakukan? Saya cintakan Arsya.”
“ Jangan berhenti mencintainya.. “

  Pantas Ris berpaling.  Matanya terbeliak, terkejut, dia memandang Alisya seolah-olah mendengar sesuatu yang tidak disangkanya. Tergamam, air matanya jatuh mengalir membasahi pipi kirinya.


“ Jika awak Alisya, adakah awak ingat apa yang awak pernah cakapkan pada saya?”




' " If there's a book you really want to read, but it hasn't been written yet, then you must write it " ~Toni Morrison'