Serpihan batu dari runtuhan bangunan usang ini, Adam alihkan dengan hati-hati.
Adam buang pula dedaun liar yang tumbuh meliar dengan cermat, takut sekiranya dia merosakkan barang-barang yang tersedia ada dalam bangunan ini.
Bangunan yang dijumpainya berhampiran tempat dia terlantar tadi, memang kelihatan usang dan seakan sudah ditinggalkan lama. Bangunan ini terlalu usang hinggakan ia sudah tidak kelihatan seperti bangunan lagi. Lantainya sudah pecah dan digantikan dengan rumput kering, batu kecil, pasir halus dan dindingnya sudah dipenuhi kulapuk.
Sambil dirinya menyelongkar bahagian dalam bangunan usang ini, dia menyedari Airis - gadis misteri yang mengekorinya sejak pagi tadi masih di situ-memerhatikannya dengan bibir yang menguntum senyuman, seolah mengetawakan- tahu yang tindakan Adam itu cuma sia-sia, membuang masa.
“ Awak tak nak tolong ke?’ tanya Adam menyedari kenakalan gadis bernama Airis ini.
“ Tolong? Saya sudah bantu kamu pun. Kecederaan itu..”
Adam memegang luka di kepalanya yang kini sudah hilang sembuh sepenuhnya. Baru semalaman di sini, tubuhnya yang calar balar itu kembali sihat. Seolah-olah kejadian dikejar raksasa semalam tidak pernah terjadi. Tubuhnya sihat tanpa satupun luka parut. Malahan tenaganya juga turut pulih.Disebabkan itulah dia mampu untuk berjalan ke sini, menerokai hutan misteri ini.
Di sebalik semua itu, Adam tidak rasa pelik atau ganjil. Mungkin di sini terdapat herba dari tumbuh tumbuhan liar yang tidak didapati di kawasan kediamannya. Kerna itu, tidak mustahil luka dan tenaganya kembali pulih disebabkan rawatan tradisional Airis.
Dia berhenti dan duduk di sebuah batu besar yang berada di sini.
Akalnya menyakinkan dirinya yang dia masih lagi berada di hutan Heratus, hutan besar dan misteri yang terlalu luas hingga memenuhi 2/3 kawasan kampungnya. Kiranya, tidak mustahil dia cuma tersesat jauh ke dasar perut hutan ini. Cuma kenapa matanya mengaburinya denga pemandangan yang pelik dan aneh di sini.
Baru pagi tadi dia dikejutkan dengan melodi dari geseran bunga-bungaan yang dihembus bayu pagi, belum lagi bila dia melihat di sungai semasa ingin membersihkan dirinya, di balik hutan yang masih gelap, dia lihat kelibat seekor kuda putih bertanduk satu.Pelik-getus hatinya.
Namun, saat ini yang paling penting adalah dia mesti cari jalan keluar. Dia tidak boleh buang masa walaupun seminit, kerana hatinya gusar memikirkan kekecohan di rumahnya waktu ini- terutama Dali.
" Awak tinggal sorang ke kat sini? Mana keluarga awak?" tanya Adam cuba mewujudkan perbualan dengan Airis yang kelihatan sedang duduk di bawah cahaya mentari yang masuk dari bumbung zink yang berlubang. Kulitnya yang putih itu kelihatan kemerah-merahan dibakar cahaya mentari.
Airis tidak menjawab, sebaliknya dia duduk menguis-nguis pasir dengan ranting kayu yang entah bila diambilnya.
“ Sini macam pernah ada orang tinggal. Tengok peralatan di sini, meja ini.. buku-buku ini.. struktur rumah ini, semua ini .. Mungkin, ada orang lain pernah masuk ke sini. Awak pernah jumpa merekakah ?”
Masih tiada balasan dari Airis. Gadis itu dari pagi tadi hanya mengekorinya tanpa cakap apa-apa, jadi mustahil Adam dapat kerjasama dari dia.
" Haishh...." Adam mengeluh kuat. dia sekarang sesat di sini, dan gadis di depannya ini tidak banyak membantu.. Sekiranya ada si bising, mungkin burung pintarnya itu boleh terbang kembali ke kampung dan mendapatkan bantuan untuk dirinya.
"Nah." terkejut Adam bila tiba-tiba Airis menghulur buah kelapa muda yang sudah terbelah padanya untuk diminum. Bila masa pula Airis ini sempat pergi ambil kelapa muda ini?
" Awak betul-betul nak balik ke?' tanya Airis pada Adam yang sedang meneguk air kelapa muda itu, menghilangkan haus ditekak. Wajah Adam berkerut bila saat air itu basah di mulutnya, bukannya air kelapa sebaliknya rasanya manis seperti air madu. Satu lagi keanehan di sini.
" Awak tahu cara nak keluar dari sini?" Adam mengharap.
Airis membisu, namun wajahnya menyembunyikan sesuatu yang membuatkan Adam tiba-tiba terasa geram.
Sememangnya, perempuan ni bertujuan memerangkap dia di sini. Mungkinkah gadis yang kelihatan naïf dan baik hati ini sebenarnya berniat jahat?
‘ Awak memang taknak saya keluar dari sini bukan?!” sindir Adam.
“Bukan! Saya.... ” penafian Airis terhenti tatkala melihat pandang mata Adam yang menyembunyikan kemarahan pada dirinya.
Mereka berdua kini saling membisu.
Hati kecil Adam berbisik yang tiada niat jahat dari gadis ini, namun akalnya mendesak dia untuk pergi dari sini dan bila Airis melengah-lengahkannya , dia tidak dapat menahan rasa berangnya.Dia tidak boleh berada di sini lama terutama bila-bila masa sahaja makhluk yang menyerangnya tempoh hari, kemungkinan berada berdekatan.
Adam bangun dari duduk, berniat untuk menyambung kerjanya yang tergendala. Jika gadis ini tidak ingin membantu, mungkin dia boleh dapat jawapan di sini. Bangunan ini simbol seseorang pernah berada di sini untuk satu jangka masa yang lama, dan kemungkinan mereka arif tentang kawasan hutan Heratus ini. Adam berharap terjumpa apa-apa catatan tentang ini yang boleh mebantunya mencari jalan keluar- mungkin terdapat peta. Itu sudah bagus.
Tangannya tiba-tiba dipegang, ditahan Airis.